1.3 KESAN PENJAJAHAN


1.3.1       Politik

Dalam sistem pentadbiran tradisional, negeri dikuasai oleh sultan.  Namun dengan pelantikan Residen British, sultan tidak lagi berkuasa mutlak dan pembesar-pembesar hampir kehilangan peranan mereka.  Namun, tidak dinafikan bahawa keamanan berjaya dipulihkan.  Pendudukan Jepun telah memberi kesedaran politik kepda masyarakat tempatan untuk mencapai kemerdekaan.  Ini kerana Jepun menggunakan propaganda ‘Asia untuk Orang Asia’.  Orang Melayu untuk mendapat peluang dan pengalaman dalam bidang pentadbiran.  Ini memberi keyakinan kepada mereka untuk mentadbir negara sendiri.  Masyarakat tempatan juga mendapat kesedaran tentang kelemahan kuasa pihak British.  Kekuatan British selama ini telah tercabar apabila dikalahkan oleh sebuah kuasa Asia.  Pendudukan Jepun telah melahirkan semangat nasionalisme di kalangan masyarakat tempatan.  Kaum Cina juga kian aktif berpolitik dengan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) kerana parti ini secara jelas menentang Jepun.  Parti ini juga berfungsi untuk menjaga dan membela nasib orang Cina yang tertindas.


1.3.2       Ekonomi

Negeri-negeri yang terbabit mula mencapai kemajuan kerana pelaburan semakin giat ekoran perkembangan perusahaan bijih timah dan tanaman-tanaman lain seperti kopi dan getah.  Selain itu, akibat kemasukan buruh yang ramai untuk bekerja di sektor-sektor ekonomi moden, petempatan-petempatan mula berkembang dan memunculkan perbandaran.  Namun di sebalik kebaikannya, berlaku ketidakseragaman pengagihan kekayaan antara negeri dan wilayah atau kawasan di dalam sesebuah negeri itu sendiri.  Sumber dan hasil ekonomi dimonopoli oleh pelabur-pelabur Barat sedangkan kaum peribumi ketinggalan.

Pada zaman pemerintahan Jepun pula, Tanah Melayu mengalami kemerosotan ekonomi pada peringkat individu dan keluarga.  Harta benda terpaksa dibelanjakan untuk memperoleh makanan dan keperluan lain.  Perusahaan bijih timah dan getah yang pesat sebelum ia merosot dan hampir terhenti ekoran daripada kerosakan dan kemusnahan yang berlaku pada lombong, ladang dan kilang.  Kerosakan ini disebabkan serangan Jepun untuk menakluki Tanah Melayu.  Banyak barang keperluan utama tidak diperolehi seperti tekstil dan ubat-ubatan.  Ini menyebabkan barang-barang keperluan menjadi mahal dan tidak mampu dimiliki oleh orang ramai.  Nilai mata wang negara turut jatuh dengan teruk.  Mata wang ‘daun pisang’ yang diperkenalkan oleh Jepun tidak bernilai kerana percetakannya yang tidak terkawal.

1.3.3       Sosial
Kesan peninggalan penjajah Portugis ialah kelahiran masyarakat Serani hasil perkahwinan antara orang Portugis dengan penduduk tempatan, pengenalan tulisan rumi (roman) dan penyerapan perkataan daripada bahasa Portugis ke dalam bahasa Melayu seperti jendela, almari, tuala, garpu dan lain-lain.

Pembangunan ini tergambar dengan wujudnya perkembangan infrastruktur seperti sistem jalan raya dan jalan kereta api, di samping infrastruktur lain seperti pusat kesihatan, bekalan air, elektrik, pos dan telegraf.

Semasa pemerintahan Jepun, pendudukan Jepun telah memberi kesan yang mendalam di hati penduduk Malaysia.  Antaranya ialah:
a)      Penindasan terhadap orang Cina
b)     Ramai penduduk yang terpaksa menjadi buruh paksa
c)     Negara mengalami kekurangan beras
d)     Penduduk menghadapi masalah kesihatan
e)     Layanan Jepun yang berat sebelah