1.2 REAKSI AWAL MASYARAKAT TEMPATAN

1.2.1       Penentangan di Naning (1831-1832)
British mendakwa bahawa Naning merupakan sebahagian daripada wilayah Melaka[5].  Gabenor Fullerton berpendapat penduduk Naning perlu membayar 1/10 daripada hasil ekonomi mereka kepada kerajaan British di Melaka.

Cadangan pegawai British ini ditentang oleh Dol Said iaitu Penghulu Naning.  Keengganan  penghulu Naning ini telah menyebabkan British menghantar sepasukan tentera pada bulan Julai 1831 untuk menangkap beliau dan memaksa pengikutnya supaya menerima cadangan British.  Dol Said dan pengikutnya berjaya menawaskan tentera British.  Pada tahun 1832, tentera British sekali lagi melancarkan serangan.  Kali ini gagal dalam mempertahankan Naning apabila beliau tewas dalam serangan tersebut walaupun beliau telah mendapat sokongan kira-kira 1400 orang dari penduduk Rembau, Seri Menanti dan Sungai Ujong.

Naning kemudiannya telah diletakkan di bawah wilayah Melaka.  Pada bulan Februari 1834, Dol Said bertindak menyerah diri.  Beliau telah dibenarkan untuk menetap di Melaka.


1.2.2       Penentangan di Perak
Apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874, J.W.W. Birch telah dilantik sebagai Residen Perak.  J.W.W. Birch tidak mendapat kerjasama daripada Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu yang lain kerana kebanyakannya tidak suka dengan tingkah laku beliau.

Ketidakpuasan terhadap Sistem Residen dan peribadi J.W.W. Birch telah membawa kepada pembunuhan beliau.  Sultan Abdullah dan Raja Ismail telah menghantar senjata kepada Dato’ Maharaja Lela.  Dato’ Maharaja Lela mengarahkan Pandak Indut dan Seputum untuk membunuh Birch di Pasar Salak pada 2 November 1875.

Penentangan di Perak disebabkan oleh:

a)          Kerajaan British dan Birch menyekat hak mengutip cukai Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar lain.  Ini kerana kutipan cukai merupakan sumber pendapatan utama mereka.
b)          Kerajaan Inggeris menggunakan Birch untuk memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat penyerahan kuasa kepada kerajaan Inggeris pada tahun 1875.
c)          Birch mengamalkan pembaharuan yang mendadak, misalnya;
                                i.     Menghapuskan sistem pengabadian hutang.
                               ii.     Memberi perlindungan kepada hamba-hamba yang lari dari tuannya.
                              iii.     Campur tangan dalam adat resam orang Melayu.
d)          Sikap Birch
                                i.     Melakukan pembaharuan terburu-buru tanpa memperdulikan perasaan pembesar-pembesar Melayu.
                               ii.     Tidak boleh berbahasa Melayu dan ingin menyukarkan beliau untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan.
                              iii.     Sikap kasar, misalnya pernah membakar rumah dua orang pembesar Perak, iaitu Raja Ngah dan Tengku Paling Besar kerana memungut cukai.

Ekoran daripada peristiwa tersebut British telah menyerang Pasir Salak pada 15 November 1875.  Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor, Pandak Induk dan Seputum telah digantung di Matang pada bulan Januari 1879.  manakala Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim yang bersubahat telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles.


1.2.3       Penentangan di Pahang
Faktor-faktor penentangan orang Melayu ialah
a)     Kehilangan kuasa dan keistimewaan sultan dan pembesar-pembesar Pahang
                                     i.          Kerajaan British telah memperkenalkan Undang-undang Tanah yang boleh menyekat kebebsan pembesar-pembesar Melayu dalam sumber ekonomi mereka.  Sementera itu kerajaan British juga telah menghapuskan sistem kerah dan hamba abdi.
                                    ii.          Pembesar-pembesar Melayu tidak boleh menghakimi kes-kes jenayah dan sivil
                                   iii.          Jawatan penghulu telah dihapuskan dengan perlantikan pegawai British.
b)     Ketidakpuasanhati Sultan Ahmad, Datuk Bahaman dan Tok Gajah
                                     i.          British memaksa Sultan Ahmad supaya menandatangani surat penyerahan kuasa kepada anaknya, Tengku Mahmud kerana Tengku Mahmud lebih disukai oleh British
                                    ii.          British enggan menambah elaun bulanan Datuk Bahaman dan juga Tok Gajah
c)     Ketidakpuasan hati rakyat Pahang
                                     i.          British memperkenalkan sistem lesen dan permit bagi masyarakat tempatan yang ingin memungut hasil hutan seperti kayu dan daun rumbia.
                                    ii.          Dilarang memakai keris
                                   iii.          Memperkenalkan cukai tanah dan sistem kerah bagi projek-projek awam.  Denda wang atau penjara 3 bulan akan dikenakan jika melanggar arahan kerah.
Ketidakpuasan hati  rakyat dan pembesar-pembesar Melayu telah mencetuskan pemberontakan pada bulan Disember 1891.  Dato’ Bahaman, Mat kilau dan Tok Gajah telah mengetuai pemberontakan tersebut bersama-sama dengan 700 orang pengikut.  Namun pemberontakan ini berakhir apabila Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya ditewaskan pada tahun 1895 dan terpaksa menyerah diri.  Dato’ Bahaman kemudiannya telah melarikan diri ke Siam sementara Tok Gajah dan Mat Kilau melarikan diri ke Terengganu.


1.2.4       Penentangan di Kelantan
Melalui Perjanjian Inggeris-Belanda (Perjanjian Bangkok) pada tahun 1909, kuasa Siam ke atas Kelantan diserahkan kepada kerajaan British dan James Scott Mason dilantik sebagai Penasihat British yang pertama pada bulan Julai 1909.  Penentangan yang tercetus di Kelantan, dipimpin oleh seorang pedagang tempatan iaitu Haji Mat Hassan Bin Munas, lebih dikenali sebagai Tok Janggut.
Punca berlaku penentangan di Kelantan ialah:
a)             Perlantikan Pegawai Daerah di Pasir Puteh oleh kerajaan British mengakibatkan kehilangan kuasa tradisional pembesar melayu di kawasan Jeram, iaitu Engku Bear Jeram Tun Ahmad.  Perlantikan ini menyebabkan beliau kehilangan punca hasil pendapatan utamanya, malah beliau terpaksa untuk membayar cukai.
b)             Pada bulan Januari 1915, Sistem tanah baharu telah diperkenalkan oleh kerajaan British yang mana orang Melayu terpaksa membayar sewa tanah yang tetap.
c)             Selain itu, kerajaan British juga mengenakan cukai terhadap setiap hasil tanaman utama penduduk Kelantan, terutama padi dan kelapa.
d)             Pegawai Daerah Pasir Puteh yang dilantik oleh British terutama pegawai yang ketiga, iaitu Che Abdul Latif ialah seorang yang mempunyai perwatakan yang kasar dan terlalu tegas.  Beliau pernah mencaci pembayar-pembayar cukai yang lewat dan sikapnya menimbulkan kemarahan orang ramai.
Perasaan tidak puas hati akhirnya mencetuskan satu pemberontakan yang diketuai oleh Tok Janggut di Pasir Putih pada 29 April 1915.  Namun dengan bantuan daripada Sultan Kelantan, British berjaya menumpaskan pemberontakan ini dan membunuh Tok Janggut pada 24 Mei 1915.


1.2.5       Penentangan di Terengganu
Pemberontakan di Terengganu diketuai oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul HAmid atau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong.  Pemberontakan ini dikenali sebagai ‘Pemberontakan Tani’ yang berlaku pada tahun 1928.  Ini kerana pemberontakan ini melibatkan sebahagian golongan petani.  Antara faktor-faktor penentangan ialah:
a)          Pungutan cukai oleh kerajaan British ke atas tanah, hasil tanah dan rakyat dikenakan cukai kepala.  Fenomena ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan.
b)          Kerajaan British memperkenalkan sistem pendidikan Barat yang berbeza dengan sistem pendidikan tradisional yang sebelum ini lebih kepada bercirikan keislaman.
c)          Kerajaan British memperkenalkan ‘Pas Kebenaran’ kepada sesiapa yang ingin meneroka tanah, bercucuk tanam dan memungut hasil hutan yang sebelum ini menjadi hak awam.  Pas kebenaran ini membebankan rakyat kerana kebanyakan daripada mereka mengusahakan pertanian pindah.
Pada 21 Mei 1928, orang-orang Melayu telah menyerang balai polis dan pejabat daerah di Kuala Berang.  Namun pemberontakan ini berjaya ditumpaskan oleh kerajaan British.  Haji Abdul Rahman Limbong telah dibuang negeri ke Makkah dan beliau meninggal di sana pada November 1829.  Beberapa orang pengikutnya telah dipenjarakan.

1.2.6       Penentangan di Sarawak (Semasa Dinasti Brooke James, Charles dan Vyner Brooke)
Pada tahun 1853, James Brooke telah menghapuskan amalan pemburuan kepala.  Kumpulan Dayak Laut  yang tidak berpuas hati dengan tindakan beliau telah bertindak menyerang kubu kerajaan.  Rentap telah mengetuai serangan ini dan mereka telah membunuh seorang pegawai British.  Brooke cuba membunuh Rentap beberapa kali namun gagal.  Mereka hanya berjaya memusnahkan kubu pertahanan Rentap sahaja.

1859 semasa pemerintahan Charles Brooke, pembesar-pembesar tempatan yang diketuai oleh Sharif Masahor dan Abdul Ghapur telah membunuh dua orang pegawai British.  Brooke telah menyerang balas yang menyebabkan kekalahan pembesar-pembesar tempatan dan telah mengalahkan mereka.  Sharif Masahor telah dibuang ke Singapura manakala Abdul Ghapur melarikan diri ke Brunei.  Semangat untuk menyerang Brooke tidak pernah padam apabila Abdul Ghapur cuba untuk menyerang Kuching pada 1860.  Beliau tewas dan telah dibuang ke Singapura.  Pada tahun 1893 masyarakat Iban telah menyerang tentera Brooke di hulu sungai Batang Lupar yang diketuai oleh Banting.  Namun berjaya ditewaskan pada tahun 1908.  Pada tahun 1920 semasa pemerintahan Vyner Brooke, orang-orang Dayak menentang pembayaran cukai dan telah memberontak di sungai Kanowit.  Pemberontakan ini diketuai oleh Penghulu Asun.  Kerajaan British cuba untuk menjejaki Asun dan telah menyerah diri pada tahun 1932.  Beliau telah dibuang negeri ke Lundu.


1.2.7       Pemberontakan Mat Salleh
Punca utama yang mewujudkan pemberontakan ini ialah tindakan British yang banyak menyusahkan penduduk tempatan dan juga sekatan terhadap pembesar tempatan.  Pada penghujung tahun 1894, pemberontakan tercetus di Sungai Sugut.  Pada bulan Ogos 1895, pasukan British yang diketuai oleh Residen Barraut telah menyerang kampung Mat Salleh.  Mat Salleh memberontak dengan membakar pekan pulau Gaya yang memusnahkan rumah dan pejabat Residen di Ambong.  Namun Mat Salleh akhirnya terbunuh dalam satu pertempuran pada 31 januari 1900.


1.2.8       Pemberontakan Rundum
Pemberontakan ini dicetuskan oleh kaum Murut terhadap pemerintah  Syarikat Berpiagam Borneo Utara.  Pemberontakan tercetus pada bulan Februari 1915 di  daerah Rundum dan diketuai oleh Antanum.  Faktor-faktor pemberontakan ialah;
a)               Cukai yang dikenakan ke atas beras dan ubi kayu yang digunakan untuk membuat tapai.
b)               Pengenalan ordinan yang melarang tindakan membersihkan hutan bagi tujuan pertanian.
c)               Mengerahkan rakyat tempatan membina jalan-jalan kecil di hutan tanpa sebarang upah.

Pada bulan Februari 1915, pemberontak yang terdiri dariapda lebih kurang 1000 orang menyerang dan membakar pejabat kerajaan di Pensiangan.  Namum pemberontakan ini gagal dan mereka terpaksa berundur.  Antanum telah ditawan dan dibunuh.